Peribahasa Yang Bermula Dengan Huruf "I"
01. Iba akan kacang sebuah, tak jadi memengat.
Maknanya: Kerana sayang akan perkara yang sedikit, tak tercapai apa yang dimaksudkan.
02. Ibarat ayam: tiada mengais tiada makan.
Maknanya: Sangat miskin.
03. Ibarat beban sudah ke tepi (ke tepi - maksudnya: sudah di pintu, akan dibawa turun).
Maknanya: Suatu pekerjaan yang sudah hampir selesai, atau rundingan yang hampir mencapai kata sepakat.
04. Ibarat beban, belum lepas daripada bah.
Maknanya: Belum lepas daripada tanggungan (anak lelaki atau anak perempuan).
05. Ibarat bunga: sedap dipakai layu dibuang (sedap - segar).
Maknanya: Perempuan yang dikasihi sementara muda, tetapi setelah tua lalu diceraikan.
06. Ibarat burung: mata lepas badan terkurung.
Maknanya: Tidak ada kemerdekaan.
07. Ibarat burung: mulut manis jangan dipakai.
Maknanya: Perkataan manis selalu berisi semu di dalamnya (semu-tipu, khianat).
08. Ibarat dawat (dakwat) dengan kertas: bila boleh renggang terlepas.
Maknanya: Suami isteri yang berkasih-kasihan.
09. Ibarat gasing: berpaku tetap berpusing, tak berpaku merayau.
Maknanya: Lelaki yang sudah beristeri, biar bagaimanapun ia berjalan namun ia tetap akan kembali ke rumahnya juga.
10. Ibarat kutu, boleh diselisik (selisik - diraba-raba dengan jari di dalam rambut).
Maknanya: Kesalahan atau keburukan tidak dapat disembunyikan.
11. Ibarat negeri berubah resam; ibarat tahun berubah musim.
Maknanya: Orang yang tidak tetap kedudukannya.
12. Ibarat pasir: sekali air dalam sekali berubah.
Maknanya: Rakyat jelata terpaksa menurut perubahan pada tiap-tiap kali pemerintahan bertukar.
13. Ibarat perahu takkan karam sebelah.
Maknanya: Kaum keluarga ikut bersimpati atas kecelakaan yang menimpa kerabatnya.
14. Ibarat rumput yang sudah kering, ditimpa hujan segar kembali.
Maknanya: Orang melarat mendapat pertolongan.
15. Ijuk sebelembang, tali di situ keluan di situ (sebelembang - seberkas).
Maknanya: Pencarian yang tiada memadai.
16. Ikan biar dapat, serampang jangan pukah (serampang - tempuling; pukah - bengkok, patah).
Maknanya: Maksud biar tercapai, kerugian jangan ada.
17. Ikan dalam keroncong (keroncong - bilik-bilik bubu sebelah dalam).
Maknanya: Tiada tertolong lagi (Tentang: Orang yang telah tertangkap).
18. Ikan di hulu tuba di hilir.
Maknanya: Perbuatan yang sia-sia.
19. Ikan di kuali, habis melompat.
Maknanya: Nasib yang malang.
20. Ikan digulai sudah melompat.
Maknanya: Nasib yang malang.
21. Ikan lagi di laut, lada garam sudah di sengkalan (sengkalan - pengisar rempah-rempah).
Maknanya: Sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh.
22. Ikan pulang ke lubuk.
Maknanya: Telah kembali ke tempat asalnya.
23. Ikan sekambu rosak oleh ikan seekor.
Maknanya: Kerana yang sedikit rosak yang banyak.
24. Ikan tergantung, kucing tunggu.
Maknanya: Mengharapkan untuk memperoleh barang yang diingini.
25. Ikan terkilat (terkilap) jala tiba.
Maknanya: Sangat cepat menangkap maksud perkataan orang: tindakan yang cepat.
26. Ikan yang di dalam lautan yang besar-besar sekalipun, termasuk juga ke dalam pukat.
Maknanya: Sepandai-pandai orang, ada kalanya salah juga.
27. Ikannya belum dapat, airnya sudah keruh.
Maknanya: Perbuatan (tindakan) yang tidak bijaksana.
28. Ikat boleh diubah, takuk bagaimana mengubahnya? (takuk - luka pada pohon, misalnya pada pohon kelapa tempat berpijak naik ke atas).
Maknanya: Perangai yang sudah jadi tabiat sukar sekali mengubahnya.
29. Ikhtiar menjalani, untung menyudahi.
Maknanya: Untuk mencapai sesuatu maksud mestilah berusaha, berhasil atau tidaknya, terserah kepada nasib.
30. Ikut hakim memiat daging, sakit di awak sakitlah orang (memiat (piat) - memiuh ke kiri ke kanan).
Maknanya: Sesuatu perintah hendaklah dilakukan dengan adil.
31. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta.
Maknanya: Orang yang mengikutkan hawa nafsunya, tentu akan celaka akhirnya.
32. Ilmu padi, makin berisi makin runduk.
Maknanya: Makin banyak ilmu atau makin tinggi pangkat makin merendah diri.
33. Inai tertepung, kuku tanggal (tertepung - sudah digiling).
Maknanya: Usaha yang tak dapat diambil hasilnya kerana terjadi kemalangan.
34. Indah khabar daripada rupa.
Maknanya: Perkhabaran selalu dilebih-lebihkan daripada keadaan yang sebenarnya.
35. Ingat ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencocok, duri yang akan mengait.
Maknanya: Hendaklah selalu beringat tentang segala bahaya dan rintangan ketika melakukan sesuatu pekerjaan.
36. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
Maknanya: Selalu waspada dan hati-hati; harus berusaha, jangan sampai terlambat.
37. Ingat-ingat yang di atas, yang di bawah akan menimpa.
Maknanya: Orang yang sedang berkuasa hendaklah berhati-hati menjalankan kewajipannya, jangan sampai menyusahkan orang-orang kecil, yang sewaktu-waktu mungkin akan menentang kerana kelakuannya yang tidak baik itu.
38. Ingin si buah manggis hutan, masak ranum tergantung tinggi.
Maknanya: Inginkan sesuatu yang sudah diperoleh.
39. Ingin hati memandang pulau, sampan ada pengayuh tidak.
Maknanya: Ingin hendak berbuat sesuatu pekerjaan, tetapi alatnya tidak cukup.
40. Ini hari orang, besok hari kita.
Maknanya: Malang dan malapetaka itu tak dapat ditentukan.
41. Intan berlian jangan dipijakkan.
Maknanya: Untung bahagia jangan dielakkan.
42. Intan dikalungkan di leher anjing.
Maknanya: Memberikan sesuatu (barang, nasihat) kepada orang yang tidak mahu atau bukan pada tempatnya.
43. Intan disangkakan batu kelikir.
Maknanya: Tidak mengetahui harga (keadaan) yang sebenarnya.
44. Intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya.
Maknanya: Kebenaran akan ternyata juga, walaupun disembunyikan; orang yang baik akan ketahuan juga walaupun hidupnya melarat.
45. Intan salah serudinya (serudi - canai).
Maknanya: Biarpun berketurunan baik, kalau tidak berpelajaran atau membuat kelakuan yang buruk, nescaya jahat dan hina juga jadinya.
46. Isi dada bekal berjalan.
Maknanya: Kalau ada ilmu ke mana pergi mudah rezeki.
47. Isi lemak dapat ke orang, tulang bulu pulang ke kita.
Maknanya: Kita yang berusaha, orang lain yang senang.
48. Itik berenang dalam air (di laut) mati kehausan.
Maknanya: Menderita kesusahan meskipun banyak wang atau berpangkat tinggi.
49. Itik bertaji.
Maknanya: Sangat penakut, tetapi sombong.
50. Itik diajar berenang.
Maknanya: Membuat pekerjaan yang sia-sia.
51. Itik dimandikan takkan basah.
Maknanya: Orang yang degil tidak akan mendengar nasihat atau ajaran.
52. Itik mendapat air.
Maknanya: Memperoleh sesuatu yang sangat digemarinya.
53. Itik tak sudu, ayam tak patuk.
Maknanya: Tersisih daripada pergaulan kerana kemiskinan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 Pandangan:
Catat Ulasan