Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Simpulan Bahasa ( T )


1. Tahan Hati
Maksud: Cekal.
Contoh Ayat: Dia tahan hati menghadapi semua cabaran yang menimpa dirinya.

2. Tahi Air
Maksud: Sampah yang mengapung di atas air.
Contoh Ayat: Kolam itu dipenuhi dengan tahi air yang dibuang oleh penduduk di kawasan sekitar.

3. Tahi Arak
Maksud: Orang yang suka minum arak.

4. Tahi Ketam
Maksud: Sisa kayu yang diketam.
Contoh Ayat: Tahi ketam boleh digunakan untuk menanam pokok orkid.

5. Tahi Lalat
Maksud: Titik atau tumbuhan kecil di kulit.
Contoh Ayat: Mukanya bujur sirih dan bertahi lalat di tepi hidung.

6. Tahi Minyak
Maksud: Cerewet.
Contoh Ayat: Linggam memang tahi minyak, ada sahaja yang tidak kena pada pandangannya.

7. Tahu Adab
Maksud: Berbudi bahasa.
Contoh Ayat: Dia seorang yang tahu adab dan penghulu memandang tinggi kepadanya.

8. Tahu Ada
Maksud: Mahukan sesuatu itu siap sedia.
Contoh Ayat: Kita hendaklah berusaha memperoleh sesuatu yang dihajati, jangan tahu ada sahaja.

9. Tahu Adat
Maksud: Sopan santun.
Contoh Ayat: Gadis yang tahu adat itu telah dipinang orang.

10. Tahu Bahasa
Maksud: Berbudi bahasa.

11. Tahu Diuntung
Maksud: Sedar akan kedudukan diri.
Contoh Ayat: Husin tahu diuntung akan dirinya kerana itu dia tidak membangga diri.

12. Tajam Akal
Maksud: Pintar.
Contoh Ayat: Kanak-kanak yang tajam akal akan mendapat kemudahan menggunakan komputer secara percuma selama enam bulan di sekolah itu.

13. Tajam Fikiran
Maksud: Pintar.

14. Tajam Ingatan
Maksud: Tidak pelupa.
Contoh Ayat: Nenek yang berumur seratus tahun itu masih tajam ingatan tentang sejarah hidupnya.

15. Tajam Lidah
Maksud: Orang yang selalu mengeluarkan kata-kata pedas.

16. Tajam Mulut
Maksud: Orang yang selalu mengeluarkan kata-kata pedas.

17. Tajam Pendengaran
Maksud: Lekas dapat mendengar.
Contoh Ayat: Walaupun sudah tua tetapi dia masih tajam pendengaran.

18. Tajuk Mahkota
Maksud: Orang kesayangan; kekasih.

19. Tali Barut
Maksud: Orang yang membuat pekerjaan tidak baik untuk orang lain.
Contoh Ayat: Si Hamzah menjadi tali barut Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

20. Tangan Kanan
Maksud: Orang yang diharapkan.

21. Tangan Kosong
Maksud: Hampa.
Contoh Ayat: Zainab pulang dari bandar dengan tangan kosong kerana dia masih gagal mendapat sebarang pekerjaan.

22. Tangan Panas
Maksud: Selalu gagal.
Contoh Ayat: Dia tangan panas kerana semua rancangannya tidak menjadi.

23. Tangan Terbuka
Maksud: Suka menolong orang; murah hati.
Contoh Ayat: Kasmini menerima tanggunggjawab membiayai pelajaran anak yatim itu dengan tangan terbuka.

24. Tangkai Hati
Maksud: Orang kesayangan; kekasih.

25. Tangkai Jering
Maksud: Sangat kedekut.

26. Tangkai Kalbu
Maksud: Orang kesayangan; kekasih.

27. Tangkap Basah (Ditangkap Basah)
Maksud: Ditangkap ketika melakukan kesalahan.
Contoh Ayat: Jabu ditangkap basah ketika menyeludup beras dari negara jiran.

28. Tangkap Buta
Maksud: Menuduh sembarangan.
Contoh Ayat: Kita perlu menyelidiki dahulu tentang hal yang berlaku. Jangan tangkap buta sahaja, kata Pak Mail.

29. Tangkap Muat
Maksud: Membuat sesuatu pekerjaan asalkan siap sahaja.
Contoh Ayat: Jangan tangkap muat sahaja semasa membuat projek itu, Encik Haidir mengingatkan para pekerjanya.

30. Tangkap Tangan
Maksud: Ditangkap ketika melakukan kesalahan.

31. Tangkap Wap
Maksud: Perbuatan yang sia-sia.
Contoh Ayat: Usahanya seperti tangkap wap kerana tidak mendatangkan sebarang hasil.

32. Tarik Kesimpulan
Maksud: Membuat kesimpulan.
Contoh Ayat: Daripada cerita saksi, kita boleh tarik kesimpulan bahawa dia tidak bersalah.

33. Tarik Langkah Serib
Maksud: Cabut lari.

34. Tarik Modal (Menarik Modal)
Maksud: Membawa masuk modal.
Contoh Ayat: Kerajaan berusaha menarik modal para pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

35. Tarik Muka Dua Belas
Maksud: Bermuka masam.
Contoh Ayat: Seman tarik muka dua belas apabila Abu menuntut hutangnya.

36. Taruh Hati (Menaruh Hati)
Maksud: Suka.
Contoh Ayat: Dalam diam-diam Mamat menaruh hati kepada Minah.

37. Taruh Mata
Maksud: Melihat.
Contoh Ayat: Khairul asyik taruh mata kepada Latifah yang sedang menyiram pokok bunga di halaman rumahnya.

38. Tawar Hati
Maksud: Sudah hilang kepercayaan.
Contoh Ayat: Sejak kejadian kehilangan wang itu, Zakiah telah tawar hati kepada orang gajinya yang disangka jujur.

39. Tegar Hati
Maksud: Degil atau mempunyai azam yang kuat.

40. Telinga Kuali
Maksud: Orang yang tahan hati walaupun dimarahi.
Contoh Ayat: Dia tidak menjawab dan hanya mendiamkan diri apabila dimarahi kerana dia telinga kuali.

41. Telinga Lintah
Maksud: Lekas dapat mendengar.

42. Telinga Nipis
Maksud: Cepat marah.

43. Teman Hidup
Maksud: Suami atau isteri
Contoh Ayat: Syamsiah hendak mencari teman hidup yang bertugas sebagai imam masjid.

44. Teman Sejawat
Maksud: Rakan tempat bekerja.
Contoh Ayat: Teman sejawat saya saling memahami masalah kerja masing-masing.

45. Terang Hati
Maksud: Lekas pandai.
Contoh Ayat: Mudah sungguh mengajar Rafeah menganyam tikar kerana dia terang hati.

46. Terang Tanah
Maksud: Waktu hampir-hampir siang.
Contoh Ayat: Sebelum terang tanah lagi Pak Jalal telah pergi ke kebunnya.

47. Tidur Mati
Maksud: Tidur yang sangat nyenyak.
Contoh Ayat: Jamilah tidur mati dan langsung tidak sedar semasa pencuri memasuki rumahnya.

48. Tidur-Tidur Ayam
Maksud: Tidur yang tidak nyenyak.
Contoh Ayat: Rubiah tidur-tidur ayam sahaja kerana menunggu anaknya yang belum balik.

49. Tikam Lidah (Bertikam Lidah)
Maksud: Berbantah atau bertengkar
Contoh Ayat: Ramlah bertikam lidah dengan Hazwani mengenai tugas mereka.

50. Tin Kosong
Maksud: Orang yang banyak cakap tetapi tidak berilmu.
Contoh Ayat: Janganlah terpengaruh dengan kata-katanya kerana dia tin kosong.

51. Tinggi Hari
Maksud: Waktu matahari sudah tinggi.
Contoh Ayat: Biasakan diri bangun awal dan elakkan bangun di waktu tinggi hari.

52. Tinggi Hati
Maksud: Megah dan sombong.
Contoh Ayat: Banyak orang tidak suka kepada Tumina kerana dia tinggi hati.

53. Tinggi Rezeki Maksud: Mudah memperoleh rezeki.

54. Titi Buih (Meniti Buih)
Maksud: Melakukan pekerjaan yang sangat sukar.
Contoh Ayat: Pekerjaan menyelamatkan mangsa kebakaran dari bangunan yang tinggi sama seperti meniti buih.

55. Titik Peluh
Maksud: Hasil usaha sendiri.
Contoh Ayat: Dia amat menyayangi rumah pusaka yang didudukinya sekarang kerana ia didirikan dengan titik peluh ayahnya.

56. Tua-Tua Keladi
Maksud: Orang tua yang berperangai buruk.
Contoh Ayat: Dia tua-tua keladi walaupun sudah tua tetapi masih suka mengganggu perempuan.

57. Tua-Tua Kelapa
Maksud: Orang yang semakin tua semakin baik perangainya.
Contoh Ayat: Selepas bersara sikap Encik Salman bagai tua-tua kelapa kerana dia sering membuat kerja-kerja amal dan kebajikan.

58. Tua-Tua Terung Masam
Maksud: Orang tua yang berperangai muda.Contoh Ayat: Pak Ali bersikap seperti tua-tua terung masam, walaupun sudah tua dia masih suka ke kelab dangdut.

59. Tulang Belakang
Maksud: Punca kekuatan.
Contoh Ayat: Pasukan penyunting yang baik menjadi tulang belakang kepada penerbitan majalah itu.

60. Tulang Hitam
Maksud: Sumsum.
Contoh Ayat: Ketika kami berada di kemuncak Gunung Kinabalu, sejuknya terasa hingga ke tulang hitam.

61. Tulang Itik
Maksud: Orang yang tidak kuat bekerja.
Contoh Ayat: Dia lebih banyak berehat daripada bekerja kerana dia tulang itik.

62. Tulang Kering
Maksud: Tulang dari lutut hingga pergelangan kaki.
Contoh Ayat: Tulang keringnya sakit kerana terpukul kayu hoki.

63. Turun Minyak
Maksud: Menjadi berang atau ganas.
Contoh Ayat: Gajah itu turun minyak dan memusnahkan banyak tanaman penduduk kampung.

64. Turun Takhta
Maksud: Melepaskan jawatan raja.
Contoh Ayat: Baginda dengan rela hati akan turun takhta memandangkan kesihatan baginda yang semakin tidak memuaskan.

0 Pandangan:

Catat Ulasan

Teman Setia

Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger