Peribahasa Yang Bermula Dengan Huruf "H"
01. Habis adat kerana kerelaan.
Maknanya: Adat dapat diubah atau ditiadakan oleh muafakat, dengan persetujuan atau perdamaian.
02. Habis air setelaga, arang dibasuh tak putih.
Maknanya: Orang jahat, biarpun diberi kesenangan, namun kalau mendapat kesempatan akan diulangnya juga perbuatan jahatnya itu.
03. Habis akal baru tawakal (tawakal - berserah diri kepada Tuhan).
Maknanya: Berserah diri kepada Tuhan sesudah habis semua ikhtiar.
04. Habis beralur maka beralu-alu (beralur - berunding).
Maknanya: Mula-mula berunding dengan baik, tetapi kalau tidak dapat juga mencapai persetujuan barulah kekuatan tenaga diadu.
05. Habis cupak dari pelelehan.
Maknanya: Adat yang dilanggar sedikit demi sedikit itu akhirnya akan dilanggar semua sekali.
06. Habis geli oleh geletek, habis rasa (bisa) oleh biasa.
Maknanya: Sesuatu yang kurang menyenangkan itu akan hilang, apabila telah menjadi kebiasaan.
07. Habis hulubalang bersiak (siak - orang yang hidup miskin kerana Allah).
Maknanya: Apabila sudah tidak ada orang yang akan diperintah, maka diri sendirilah yang harus mengerjakannya.
08. Habis kapak berganti beliung.
Maknanya: Sangat rajin bekerja.
09. Habis kuman disembelih hendak memberi makan gajah.
Maknanya: Menyusahkan orang kecil kerana hendak menyenangkan orang besar-besar.
10. Habis manis sepah dibuang.
Maknanya: Digunakan sewaktu ada perlunya saja, setelah itu ditinggalkan.
11. Habis miang kerana bergeser.
Maknanya: Sesuatu kesukaran akan hilang apabila sudah menjadi kebiasaan.
12. Habis minyak sepasu, ekor anjing diurut tiada akan lurus.
Maknanya: Tabiat seseorang yang jahat, sangat sukar hendak diubah.
13. Habis tenggang dan (dengan) kelakar.
Maknanya: Tidak berdaya lagi.
14. Habis umpan kerong-kerong tak dapat (kerong-kerong - ikan laut "Terapon jarbua").
Maknanya: Perbuatan dan usaha yang mendatangkan rugi.
15. Hancur badan dikandung tanah, budi baik terkenang juga.
Maknanya: Budi bahasa yang baik tidak akan dilupakan orang walaupun sudah mati.
16. Hang tak kurang sanggul, aku tak kurang tengkolok. Maknanya:
Hilang satu ada lagi ganti yang lain (tentang lelaki dan perempuan).
17. Hangat tiada berapi, sejuk tiada berair.
Maknanya: Orang jahat, biarpun diberi kesenangan, namun kalau mendapat kesempatan akan diulangnya juga perbuatan jahatnya itu.
18. Hangat-hangat tahi ayam.
Maknanya: Tidak bersungguh-sungguh.
19. Hanya air dingin yang dapat memadamkan api.
Maknanya: Kata-kata yang lemah-lembut saja yang dapat mendinginkan hati yang sedang marah.
20. Hanyut dipintasi, lulus diselami, hilang dicari.
Maknanya: Menolong seseorang yang ditimpa kesusahan.
21. Harap hati hendak peluk gunung, apa daya tangan tak sampai.
Maknanya: Kehendak hati terlalu besar sehingga tiada upaya untuk mencapainya.
22. Harap hendak melonjak, kopiah pesuk.
Maknanya: Segala harta-benda habis dibelanjakan, kerana hendak hidup mewah.
23. Harap hendak meraup, tidak boleh menggenggam (meraup - mencedok dengan tangan).
Maknanya: Segala harta-benda habis dibelanjakan, kerana hendak hidup mewah.
24. Harap ke mulut besar cakap, kerja suatu tak boleh cekap.
Maknanya: Cakapnya saja yang besar tetapi buktinya tidak ada.
25. Harap lenggang serdadu, destar teleng, belanja kurang (lenggang serdadu - sikap yang gagah).
Maknanya: Gaya saja yang gagah, tetapi tidak berwang.
26. Harapkan anak, buta mata sebelah; harapkan teman, buta keduanya.
Maknanya: Dalam membuat sesuatu pekerjaan, janganlah diharapkan kepada orang lain; walaupun kepada anak sendiri.
27. Harapkan burung terbang tinggi, punai di tangan dilepaskan.
Maknanya: Kerana mengharapkan keuntungan yang besar tetapi belum tentu diperoleh, keuntungan yang kecil tetapi sudah pasti, dilepaskan.
28. Harapkan guruh di langit, air tempayan ditumpahkan.
Maknanya: Kerana mengharapkan keuntungan yang besar tetapi belum tentu diperoleh, keuntungan yang kecil tetapi sudah pasti, dilepaskan.
29. Harapkan kuning kuah kambeh, cangkuk terubuk ditinggalkan.
Maknanya: Kerana mengharapkan keuntungan yang besar tetapi belum tentu diperoleh, keuntungan yang kecil tetapi sudah pasti, dilepaskan.
30. Harapkan si untung menggamit, kain di badan didedahkan.
Maknanya: Kerana mengharapkan keuntungan yang besar tetapi belum tentu diperoleh, keuntungan yang kecil tetapi sudah pasti, dilepaskan.
31. Harapkan si untut menggamit, kain koyak diupahkan (untut - orang yang sembab kedua-dua kakinya kerana sakit).
Maknanya: Percaya kepada orang yang sangat malas.
32. Hari baik(pagi) dibuang-buang, hari buruk(petang) dikejar-kejar.
Maknanya: Masa yang baik dibiarkan lalu, kemudian tergopoh-gopoh mengejar waktu yang sudah sempit.
33. Hari guruh takkan hujan.
Maknanya: Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul.
34. Hari ini patutlah redup (panas keras).
Maknanya: Mengharapkan sesuatu keuntungan; sangkaan yang tidak baik.
35. Hari ini sedang panas panjang, kacang telah lupakan kulitnya.
Maknanya: Orang miskin jadi kaya, lupa akan dirinya.
36. Hari ini terlebih baik daripada besok.
Maknanya: Yang dapat diusahakan hari ini janganlah ditangguhkan sampai besok.
37. Hari tak selamanya panas.
Maknanya: Untung dan malang silih berganti.
38. Hari tidak siang saja.
Maknanya: Tidak selamanya senang terus-menerus.
39. Harimau bertempek tak (kan) makan orang.
Maknanya: Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul.
40. Harimau ditakuti sebab giginya.
Maknanya: Orang besar-besar itu ditakuti kerana kekuasaannya.
41. Harimau hendak menghilangkan jejaknya.
Maknanya: Orang jahat hendak menyembunyikan kejahatannya.
42. Harimau mati kerana belangnya.
Maknanya: Mendapat kecelakaan kerana kelebihannya.
43. Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan daging, manusia mati meninggalkan nama.
Maknanya: Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.
44. Harimau memperlihatkan kukunya.
Maknanya: Orang yang memperlihatkan kekuasaannya.
45. Harimau mengaum takkan menangkap.
Maknanya: Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul.
46. Harimau menunjukkan belangnya.
Maknanya: Orang yang memperlihatkan kekuasaannya.
47. Harimau menyorokkan kuku.
Maknanya: Orang yang menyembunyikan kelebihannya.
48. Harimau puntung kena penjara, pelanduk kecil menolakkan mara.
Maknanya: Ada masanya kesusahan orang besar lagi berkuasa itu ditolong oleh orang yang lemah dan kecil.
49. Harimau tidak merendahkan dirinya untuk menangkap cicak sebagai mangsanya.
Maknanya: Orang besar yang tidak mahu bertindak dengan tindakan-tindakan yang merendahkan tarafnya.
50. Harta orang hendak digalas.
Maknanya: Orang yang mahu mengambil harta orang lain.
51. Harta orang hendak dikebas.
Maknanya: Orang yang mahu mengambil harta orang lain.
52. Harta pulang ke tuan (empunya).
Maknanya: Sudah pada tempatnya.
53. Harum menghilangkan bau.
Maknanya: Keburukan telah dilindungi oleh kebaikan.
54. Harum semerbak mengandung mala (mala - air bangkai yang telah busuk).
Maknanya: Jasa yang dipuji-puji, tetapi jasa itu diperoleh dengan jalan yang curang.
55. Haruslah air disauk, dan ranting dipatah; lama hidup banyak merasa, jauh berjalan banyak dilihat.
Maknanya: Orang yang merantau haruslah menurut adat kebiasaan tempat yang didiaminya.
56. Hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang. Maknanya: Orang yang tidak ada perasaan.
57. Hati bak serangkak dibungkus.
Maknanya: Sangat berharap-harap akan mendapat sesuatu yang diingini.
58. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Maknanya: Pembahagian yang sama rata; banyak sama-sama banyak, sedikit sama-sama sedikit.
59. Hati gatal mata digaruk.
Maknanya: Ingin mengerjakan sesuatu tetapi tidak berdaya kerana kurang ilmu dan tidak cekap.
60. Hati hendak semua jadi.
Maknanya: Jika ada kemahuan, semua dapat dikerjakan.
61. Hati orang yang bodoh itu di mulutnya, dan lidah orang yang cerdik itu di belakang hatinya.
Maknanya: Orang bodoh berbicara tanpa perhitungan, orang pandai berfikir sebelum berkata-kata.
62. Hati yang ringan meringankan beban yang berat. Maknanya: Semua pekerjaan yang dilakukan dengan kerelaan nescaya menjadi mudah.
63. Hati yang suka peringan beban.
Maknanya: Semua pekerjaan yang dilakukan dengan kerelaan nescaya menjadi mudah.
64. Hawa pantang kerendahan, nafsu pantang kekurangan.
Maknanya: Hawa nafsu tiada mahu kalah daripada orang lain.
65. Hemat pangkal kaya, sia-sia hutang tambah.
Maknanya: Hemat dan cermat mendatangkan kesenangan, boros dan membazir mendatangkan kesukaran.
66. Hempas tulang berisi perut.
Maknanya: Rajin bekerja (berusaha) mudah mendapat rezeki.
67. Hempas tulang tak berbalas jasa.
Maknanya: Berpenat telah tetapi tidak ada hasilnya.
68. Hendak air pancuran terbit.
Maknanya: Yang diperoleh lebih daripada yang dikehendaki.
69. Hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai.
Maknanya: Hendak mengetahui sesuatu perkara bertanyalah kepada orang yang ahli dalam perkara itu.
70. Hendak bersunting bunga mala.
Maknanya: Hendak beristeri perempuan tua.
71. Hendak bersunting bunga yang belum diseri kumbang.
Maknanya: Hendak beristeri anak gadis.
72. Hendak bertanduk kepala dipahat.
Maknanya: Kerana hendak menunjukkan kemegahan, rela berhutang atau berbuat sesuatu yang dapat mendatangkan bencana kepada diri sendiri.
73. Hendak dimasukkan ke dalam sumpit tak maut; ke dalam keranjang longgar.
Maknanya: Sesuatu yang tidak sempurna menyebabkan keadaan menjadi sukar.
74. Hendak ditelan termengkelan, hendak diludah tiada keluar (termengkelan - tersangkut dalam kerongkongan).
Maknanya: Menghadapi sesuatu masalah yang sangat sulit; dalam keadaan yang serba salah.
75. Hendak harum terlalu hangit.
Maknanya: Kerana terlalu hendak meninggikan diri akhirnya mendapat malu.
76. Hendak hinggap tiada berkaki.
Maknanya: Ingin berbuat sesuatu tetapi tidak berdaya.
77. Hendak kaya berdikit-dikit, hendak tuah (mulia) bertabur urai, hendak berani berlawan ramai.
Maknanya: Hemat tangga kekayaan, murah hati tangga tuah, banyak lawan mendatangkan berani.
78. Hendak kerja golok Keling, hendak makan parang punting.
Maknanya: Malas bekerja tetapi banyak makan.
79. Hendak mara bedil bertinak, hendak undur gelar telah besar (bertinak - tak putus-putus datang, bertubi-tubi; mara - maju).
Maknanya: Keadaan yang serba salah pada orang yang telah diberi pangkat; hendak memelihara tarafnya tiada cukup wangnya, hendak undur malu kerana pangkatnya sudah tinggi.
80. Hendak masak langsung hangus.
Maknanya: Kerana terlalu hendak meninggikan diri akhirnya mendapat malu.
81. Hendak melangkah kaki pendek, hendak mencapai tangan tak sampai.
Maknanya: Ingin membuat sesuatu pekerjaan tetapi tidak berdaya kerana kekurangan wang dan alat.
82. Hendak meluruskan ekor anjing.
Maknanya: Sukar untuk mengubah kelakuan yang sudah menjadi tabiat.
83. Hendak memadam api tengah menyala, disiramkan minyak pula ke atasnya.
Maknanya: Orang yang sedang marah malah diapi-apikan pula.
84. Hendak memikat balam, balam jugalah penunggunya.
Maknanya: Hendak mencari orang pandai, maka orang yang pandai pulalah yang tahu mencarinya.
85. Hendak menangguk ikan, tertangguk akan batang. Maknanya: Hendakkan laba, rugi yang diperoleh.
86. Hendak mendapat pisang terkupas.
Maknanya: Inginkan kesenangan tetapi malas berusaha.
87. Hendak menebang merebahkan, hendak mencencang memutuskan.
Maknanya: Hendak berbuat sesuka hati saja, tanpa memikirkan sesuatu yang lain.
88. Hendak mengayuhkan perahu tertambat.
Maknanya: Hendak kahwin dengan perempuan yang masih dalam edahnya.
89. Hendak mengepal pasir kering.
Maknanya: Membuat pekerjaan yang sukar.
90. Hendak menggaruk tidak berkuku.
Maknanya: Hendak berusaha tetapi alat syaratnya tiada ada.
91. Hendak pergi berotan jangan takut onaknya.
Maknanya: Hendak membuat sesuatu pekerjaan yang besar, janganlah takut menghadapi percubaan.
92. Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya.
Maknanya: Tiap-tiap ada kemahuan, tentu ada jalan.
93. Hendak singa di tengah padang lagi, daripada ular di dalam rumput.
Maknanya: Lebih baik berdepan dengan musuh besar di tempat terang daripada musuh kecil di dalam sulit.
94. Hendak sombong berbini banyak, hendak megah berlawan lebih.
Maknanya: Kerana hendak memperlihatkan ketinggian diri, maka hidup dalam kesukaran.
95. Hendak terbang tiada bersayap.
Maknanya: Ingin berbuat sesuatu tetapi tidak berdaya.
96. Hendak ucok (damai) dilawan damai, hendak perang giling peluru.
Maknanya: Bersedia menghadapi segala kemungkinan.
97. Hendak ulam, pucuk menjulai.
Maknanya: Yang diperoleh lebih daripada yang dikehendaki.
98. Hendak untung menjadi buntung.
Maknanya: Hendakkan laba, rugi yang diperoleh.
99. Hendak(nya) saja yang besar, masuknya tak (se)berapa.
Maknanya: Banyak cakap, tetapi buktinya sedikit sekali.
100. Hendakkan halus, genting; genting putus sudahnya.
Maknanya: Perbuatan yang melebihi batasnya tentu tidak selamat dan akhirnya akan mendatangkan kerugian.
101. Hendaklah seperti tembikar, pecah satu pecah semuanya.
Maknanya: Hendaklah hidup dalam muafakat; senang sama-sama senang, susah sama-sama susah.
102. Hidung dicium, pipi digigit.
Maknanya: Kasih sayang yang pura-pura saja; menyembunyikan perbuatan jahat dengan perbuatan baik.
103. Hidung sudah rampung diatur orang.
Maknanya: Orang bodoh yang sombong, tiada sedar dirinya dibodohi orang.
104. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
Maknanya: Suka ikut campur dalam urusan orang lain; menonjol-nonjolkan diri.
105. Hidup di hujung gurun orang.
Maknanya: Hidup melarat.
106. Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
Maknanya: Selama masih hidup, mestilah menurut aturan-aturan yang berlaku, sudah mati terserahlah kepada hukum Tuhan.
107. Hidup dua muara.
Maknanya: Hidup dengan dua macam pencarian.
108. Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa. Maknanya: Berbuat baiklah semasa masih hidup untuk diri sendiri dan untuk masyarakat.
109. Hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing.
Maknanya: Suami isteri yang berkasih-kasih; sahabat yang setia dan bertolong-tolongan.
110. Hidup segan mati tak mahu.
Maknanya: Hidup melarat (miskin atau selalu sakit-sakit).
111. Hidup tidak kerana doa, mati tidak kerana sumpah.
Maknanya: Berusahalah dengan tenaga dan fikiran sendiri, dan jangan mengharapkan sangat pertolongan orang lain.
112. Hilang adat tegal muafakat.
Maknanya: Adat kebiasaan boleh diubah asalkan ada persetujuan orang banyak.
113. Hilang bahasa lenyap bangsa.
Maknanya: Apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakai lagi maka lambat-laun hilanglah bangsa itu; hilang budi bahasa hilang derajat (darjat) diri.
114. Hilang bini boleh dicari, hilang budi badan celaka. Maknanya: Akal yang jahat dapat mendatangkan kecelakaan kepada diri.
115. Hilang di mata di hati jangan.
Maknanya: Walaupun tempat tinggal berjauhan tetapi selalulah ingat di dalam hati.
116. Hilang dicari, terapung digenangi, terbenam diselami.
Maknanya: Memeriksa dengan teliti; menolong seorang dalam kesusahan.
117. Hilang ikan dalam kerabu (kerabu - sejenis makanan).
Maknanya: Kejahatan akan hilang jahatnya apabila tiap-tiap orang ikut mengerjakannya.
118. Hilang jasa beliung, timbul jasa rimbas (rimbas - perkakas untuk penarah kayu).
Maknanya: Orang lain yang berbuat kebaikan (berlelah payah), orang lain pula yang mendapat pujian.
119. Hilang kemarau setahun oleh hujan sehari.
Maknanya: Kebaikan hilang kerana kejahatan sedikit.
120. Hilang kepala kura-kura ditelan oleh dadanya.
Maknanya: Orang hina tetapi berilmu dan bijaksana tetap akan dihormati orang.
121. Hilang kilat dalam kilau.
Maknanya: Kepandaian atau kebesaran sudah tak kelihatan lagi apabila bercampur dengan orang pandai-pandai atau orang besar-besar.
122. Hilang pelanduk berganti kijang emas.
Maknanya: Perempuan yang bercerai daripada suaminya yang hina kemudian kahwin dengan seorang lelaki yang mulia.
123. Hilang penjahit berkerbau-kerbau.
Maknanya: Lebih banyak ongkos perkara daripada harga barang-barang yang diperkarakan.
124. Hilang rona kerana penyakit, hilang bangsa tidak berwang.
Maknanya: Orang yang tidak berharta (berwang) kurang dihargai orang.
125. Hilang sepuh nampak senam (sepuh - sadur; senam - warna yang asal).
Maknanya: Tampak kejahatannya, sesudah terbuka rahsianya.
126. Hilang tak tentu rimbanya.
Maknanya: Hilang tidak berbekas.
127. Hilang tapak tukul, timbul tapak canai (tukul - pemukul kecil; canai - asah).
Maknanya: Perbuatan (baik dan jahat) orang yang terlebih dulu itu telah hilang, kerana dilindungi oleh perbuatan orang yang kemudiannya.
128. Hilang tentu rimbanya, mati tentu kuburnya.
Maknanya: Sesuatu hal atau perkara yang sudah tentu kesudahannya.
129. Hilang tukul hilanglah pahat.
Maknanya: Tidak dapat melakukan sesuatu pekerjaan kalau tidak berteman.
130. Hilir malam mudik tak singgah, daun nipah dikatakan daun labu.
Maknanya: Malas berusaha tentulah susah; segan bertanya sesat jalan.
131. Hinggap bak langau, titik bak hujan.
Maknanya: Hal yang terjadi dengan tiba-tiba (kemalangan dan sebagainya).
132. Hinggap mencengkam (dahan), terbang menumpu (dahan).
Maknanya: Jika merantau hendaklah mencari keluarga atau kawan kenalan tempat menumpangkan diri.
133. Hinggap saja bagai langau.
Maknanya: Hal yang terjadi dengan tiba-tiba (kemalangan dan sebagainya).
134. Hinggap seperti benalu (benalu - pasilan).
Maknanya: Menumpang, kemudian merosakkan tempat tumpangannya itu.
135. Hitam bagai buntut (pantat) belanga.
Maknanya: Perihal keburukan sifat seseorang.
136. Hitam dikatakan putih, putih dikatakan hitam.
Maknanya: Yang buruk dikatakan baik, yang baik dikatakan buruk; berdusta.
137. Hitam gagak tiada siapa yang mencelupnya.
Maknanya: Orang yang berbuat jahat dengan kehendaknya sendiri.
138. Hitam mata itu takkan boleh bercerai dengan putihnya.
Maknanya: Orang yang sedang berkasih-kasihan tak dapat dipisahkan satu sama lain.
139. Hitam tahan tempa, putih tahan sesah.
Maknanya: Dapat diuji, tentang keasliannya; tetap tidak berubah.
140. Hitam-hitam bendi, putih-putih sadah (bendi - kereta kuda; sadah - kapur).
Maknanya: Yang buruk lebih mahal harganya daripada yang cantik.
141. Hitam-hitam gajah, putih-putih udang kepai (udang kepai - udang kecil untuk dibuat belacan).
Maknanya: Yang hina tetap hina walaupun elok rupanya, yang mulia itu tetap mulia walaupun hodoh rupanya.
142. Hitam-hitam gula Jawa.
Maknanya: Biarpun hitam tetapi manis.
143. Hitam-hitam kereta api, putih-putih kapur sirih. Maknanya: Yang buruk lebih mahal harganya daripada yang cantik.
144. Hitam-hitam tahi minyak dimakan juga, putih-putih hampas kelapa dibuang.
Maknanya: Barang yang buruk tetapi berguna, disimpan; barang yang cantik tetapi tidak berguna, dibuang.
145. Hujan berbalik ke langit.
Maknanya: Orang berkuasa minta pertolongan kepada orang yang lemah.
146. Hujan berpohon, panas berasal.
Maknanya: Segala sesuatu tentu ada sebab-musababnya.
147. Hujan emas di negeri orang, hujan batu (keris lembing) di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.
Maknanya: Walau bagaimanapun mewah dan makmurnya negeri orang, namun negeri sendiri juga yang lebih baik.
148. Hujan jatuh ke pasir.
Maknanya: Berbuat baik tidak pada tempatnya.
149. Hujan menimpa bumi.
Maknanya: Tiada dapat melepaskan diri daripada perintah orang-orang yang berkuasa.
150. Hujan panas permainan hari, senang susah permainan hidup.
Maknanya: Dalam hidup manusia ada kalanya senang dan ada kalanya susah.
151. Hujan tak sekali jatuh, simpai tak sekali erat (simpai - gelang-gelang daripada rotan).
Maknanya: Keuntungan dan bahagia tidak datang sekali gus.
152. Hujan, tempat berteduh; panas, tempat berlindung.
Maknanya: Orang yang selalu memberi pertolongan kepada orang-orang yang mendapat kesusahan.
153. Hujung lurus, pangkal berkait.
Maknanya: Kelihatannya baik, tetapi di dalam hatinya jahat.
154. Hukum berdiri dengan sakti, adat berdiri dengan tanda.
Maknanya: Undang-undang agama kuat dengan keterangan-keterangan lisan, undang-undang adat kuat dengan tanda-tanda bukti.
155. Hukum yang rata, adat yang datar.
Maknanya: Sesuatu yang sama baiknya.
156. Hulu malang pangkal celaka.
Maknanya: Permulaan segala bencana.
157. Hulu mujur pandai bertengkar, hulu baik pandai memakai (hulu mujur - pangkat untung).
Maknanya: Orang yang pandai hidup dan pandai membawa diri dalam pergaulan, selalu selamat dan disukai orang.
158. Hutang (pinjam) kayu ara.
Maknanya: Hutang yang tak mungkin terbayar.
159. Hutang biduk belum langsai, hutang pengayuh datang pula.
Maknanya: Hutang yang dulu belum dibayar, sudah berhutang lagi.
160. Hutang emas dapat (boleh) dibayar, hutang budi dibawa mati.
Maknanya: Budi baik orang haruslah diingat selama-lamanya, kerana budi bahasa tak dapat dibayar dengan wang.
161. Hutang sebelit (selilit) pinggang.
Maknanya: Sangat banyak hutangnya.
162. Hutang tembilang belum langsai, hutang tajak bila pula.
Maknanya: Hutang yang dulu belum dibayar, sudah berhutang lagi.
163. Hutang tiap helai bulu.
Maknanya: Sangat banyak hutangnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 Pandangan:
Catat Ulasan